SELANGOR

Selangor semarak syiar Islam, dukung pembangunan Masjid

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 10 MAC: Semarak syiar Islam didukung sepenuhnya pentadbiran Kerajaan Selangor, selaras agenda pembangunan sosial dan kelangsungan ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, keperluan itu seiring bagi membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengimbangi pertumbuhan ekonomi negeri bersandarkan keutuhan pembangunan rohani dalam kalangan umat Islam.

“Sementera kita ingin terus membangunkan Selangor sebagai negeri maju dengan kejayaan kekal pertumbuhan ekonomi mampan, pada masa sama saya menetapkan dasar Kerajaan Negeri untuk membangunkan negeri ini sebagai negeri penyayang.

“Ia harus diimbangi dengan pembangunan kerohanian dalam kalangan umat Islam kerana ia penting untuk pastikan kemajuan Selangor terus kekal.

“Justeru, matlamat asalnya bukan sahaja kita berjaya dalam konteks pembangunan fizikal, tetapi kita mahu melahirkan umat Islam yang berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah,” katanya.

Justeru katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi komitmen dan sokongan Kerajaan Negeri kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di bawah peruntukan RM106 juta, bagi tujuan pembangunan kerohanian dan Institusi Islam di Selangor, tahun ini.

“Peruntukan ini termasuklah tumpuan pembangunan Masjid, Surau, sekolah agama, institusi pendidikan Islam, Maahad Tahfiz serta program yang mampu menyemarakkan agenda kerohanian.

“Iltizam lain turut dizahirkan menerusi pembinaan masjid secara berterusan khususnya di kawasan Gombak dan daerah lain seluruh Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Masjid Darul Ehsan di Tamar Tar, Ampang petang ini.

Majlis berkenaan turut menyaksikan RM6 juta disalurkan Kerajaan Negeri bagi tujuan pembinaan blok kedua bangunan masjid berkenaan.

Pembangunan struktur tambahan itu dibuat bagi tujuan penyediaan ruang solat tambahan, perpustakaan, bilik jenazah dan ruang wudhuk tambahan.

Terdahulu, masjid yang mampu memuatkan kapasiti 1,000 jemaah itu dibina qariah Taman Tar, di bawah peruntukan setempat sebanyak RM2 juta.


Pengarang :