SELANGOR

Selenggara parit utama setiap tahun elak banjir kilat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor melaksanakan penyelenggaraan parit utama setiap tahun bagi mengatasi masalah banjir kilat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata ia antara tindakan dijalankan Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensinya selepas mengenal pasti beberapa cadangan pelaksanaan bagi tujuan berkenaan.

“Tindakan lain dijalankan antaranya ialah pembinaan Parit Sekunder Tanah antar kampung oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung secara berkala tiga kali setahun.

“Majlis Daerah Kuala Selangor juga membina longkang kawasan perumahan dan longkang konkrit selain Jabatan Kerja Raya membina parit tepi jalan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Secara geografi, beliau berkata, Ijok adalah kawasan landai dan pemilik tanah disaran untuk meninggikan aras tanah berdasarkan paras bebas banjir.

“Pemilik tanah juga perlu mendapatkan kelulusan daripada jabatan bagi pembinaan lintasan, jambatan atau pembentung merentasi parit untuk memastikan tiada halangan aliran air yang boleh melambatkan arus air parit,” katanya.

=EZY=


Pengarang :