SELANGOR

Seloroh dua MB sahabat lama personakan hadirin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Antara Negeri Selangor dan Pahang di Hotel Concorde, semalam bukan sahaja memberi makna yang besar kepada hubungan dua hala, malah turut mempamerkan hubungan erat dua sahabat lama yang terjalin sekian lama.

Hal itu dapat dilihat dalam majlis yang dijalankan dengan penuh tertib, Dato’ Menteri Besar kedua-dua negeri itu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob saling berseluroh dalam ucapan masing-masing menyebabkan dewan riuh dengan ketawa hadirin.

Suasana harmoni di antara dua pemimpin berbeza idealogi politik itu jelas mempersonakan rata-rata hadirin yang berada di majlis itu.

Sebelum itu, Adnan yang terlebih dahulu menyampaikan ucapan memberitahu, Mohamed Azmin bukan sahaja dikagumi rakyat Selangor, malah turut diminati anak beliau sendiri.

Ketika menyentuh cabaran yang dihadapi kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Adnan dengan bersahaja mempelawa Mohamed Azmin berkongsi duit untuk memberi sumbangan kepada Othman Omar iaitu kakitangan JUPEM yang disambar petir ketika menjalankan kerja mengukur sempadan.

“Kalau nak bagi RM10,000 kita boleh kongsi RM5,000 seorang, Kalau nak beri RM500 kita boleh kongsi RM250 seorang,” katanya hingga menyebabkan hadirin di dewan ketawa.

Mohamed Azmin ketika menyampaikan ucapannya, menyambut baik saranan Adnan untuk memberi sumbangan kepada Othman.

Beliau dengan nada bersahaja turut berkata, sebagai negeri penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan Selangor juga tidak keberatan mengadakan jamuan bagi meraikan kakitangan JUPEM yang bertungkus lumus menyiapkan kerja persempadanan itu.

“Seperti ‘arahan’ Datuk Seri Diraja tadi, sebagai negeri yang kaya dan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), apalah sangat untuk beri sumbangan dan majlis jamuan penghargaan kepada kakitangan JUPEM,” katanya.

Jelasnya, pemberian itu selaras dengan dasar Kerajaan Selangor yang sentiasa peduli rakyat.

Mohamed Azmin turut sempat menarik perhatian Adnan apabila memberitahu bahawa Kerajaan Selangor memberi bonus tiga bulan kepada penjawat awam negeri itu sebagai penghargaan ke atas usaha keras golongan itu memastikan dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan.

“Untuk pengetahuan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Diraja, penjawat awam di Selangor bukan dapat bonus sebulan gaji tetapi tiga bulan gaji.

“Saya harap Datuk Seri Diraja tidak halang mana-mana penjawat awam di Pahang ingin berpindah ke Selangor,” katanya.

Tidak cukup dengan ucapan, Adnan turut sempat beberapa kali berjenaka ketika upacara bertukar cenderahati yang melibatkan Kerajaan Selangor, Kerajaan Pahang dan JUPEM.


Pengarang :