SELANGORSUKANKINI

Sikap angkuh pengurusan tertinggi FAS punca tak jalin kerjasama

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri tidak menjalinkan kerjasama dengan pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Selangor (FAS) ekoran sikap angkuh dan sombong pengurusan tertingginya yang menidakkan kuasa-kuasa tertentu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, perubahan dalam FAS hanya boleh diselesaikan serta ditangani secara bijak oleh ahli-ahli gabungan.

“Sekiranya pemimpin tertinggi yang dilantik sebagai presiden mempunyai sikap angkuh dan sombong, ia akan merosakkan organisasi itu lantas memberikan kesan negatif kepada bola sepak secara keseluruhannya.

“Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal juga sering menuding jari kepada Kerajaan Negeri atas masalah dihadapi pasukan Selangor, namun haruskah kami tunduk dengan desakan dan memenuhi kehendak beliau sedangkan sikapnya itu adalah punca kemerosotan pasukan Selangor buat masa ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataannya pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam yang menjawab isu Stadium Shah Alam kepada Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Amirudin berkata, jawapan itu bukan ditujukan kepada FAS secara keseluruhan namun lebih kepada Subahan.

Beliau berkata, sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan kepada pasukan Selangor dari sudut fasiliti, kewangan, perkhidmatan kepakaran dan lain-lain melalui peruntukan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kerjasama ini telah membawa kejayaan dan kecemerlangan pasukan negeri di persada liga peringkat kebangsaan serta melahirkan ramai pemain skuad kebangsaan Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor akan terus melaksanakan pelbagai program dan membangunkan sukan itu secara berterusan bersama persatuan bola sepak demi memastikan kecemerlangannya.

“Contohnya seperti pembangunan sukan bola sepak serta kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor dengan mewujudkan program Akademi Bola Sepak Merah Kuning yang dijalankan seluruh daerah.

“Di samping itu, MSN bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor bagi mengetengahkan setiap pemain ke tahap lebih tinggi.

“Sebarang bentuk program pembangunan sukan di negeri ini juga tidak pernah dikecualikan. Ia terbukti dengan kejayaan Selangor menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) sebanyak sembilan kali daripada 19 edisi penganjuran,” katanya.

=EZY=


Pengarang :