Sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di Selangor dari Januari hingga 1 Ogos.
SELANGOR

Sikap masyarakat punca kes denggi meningkat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Sikap masyarakat yang kurang mengambil berat berhubung alam persekitaran dengan membuang sampah merata tempat akhirnya menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes selain antara punca kes denggi terus meningkat.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian yang dilakukan Farah Amirah et al 2016 untuk melihat profil nyamuk aedes di bangunan bertingkat di Selangor mendapati indeks ovitrap yang agak di pangsapuri (16.7%) berbanding apartment (6.1%).

“Antara penemuan penting hasil kajian terbabit adalah keadaan sanitasi dan kebersihan pangsapuri yang tidak memuaskan kerana terdapat bekas domestik seperti baldi, pasu serta mangkuk plastik.

“Selain itu, terdapat sampah yang dibuang di atas bumbung bangunan oleh penduduk setempat yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Di samping itu, katanya, kajian terbabit juga mendapati air bertakung di koridor dan parit selepas hujan turut menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sehubungan itu, kerjasama antara orang ramai dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu ditingkatkan dalam memusnahkan pembiakan nyamyk aedes bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan demam denggi.

Pada masa sama, KKM juga menerima satu kes chikungunya iaitu daerah Sik, Kedah.

Jumlah kumulatif kes itu sehingga 24 Februari lalu sebanyak 37 kes iaitu 31 dari Kelantan, dua dari Kedah manakala satu kes masing-masing di Perlis, Selangor, Sarawak dan Sabah.

“Sementara itu, pemantauan sistem survelan virus zika oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati 278 sampel darah dalam kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus zika adalah negatif.

“Oleh itu, KKM menyeru masyarakat melaksanakan aktiviti pembersihan dan menghapuskan tempat potensi pembiakan aedes. Komitmen individu, masyarakat dan agensi amat diperlukan bagi membendung peningkatan kes denggi,” katanya.


Pengarang :