BERITA UTAMANASIONAL

Skim Peduli Sihat untuk rakyat Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 MAC : Pelaksanaannya tidak lagi hanya di Selangor, sebaliknya keberkesanan Skim Peduli Sihat akan diperluas kepada masyarakat seluruh negara jika Pakatan meneraju pentadbiran Putrajaya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu membuktikan pelaksanaan Skim Peduli Sihat Selangor wajar dan mampu memberi manfaat kesihatan berterusan kepada semua rakyat.

“Ini memang pendirian Pakatan, walaupun belum menang di Putrajaya tetapi Selangor dan Pulau Pinang telah lebih awal melaksanakannya.

“Tumpuannya, pelaksanaan skim ini sangat bermanfaat dan dapat membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

“Justeru, ini wajar diteruskan di peringkat Putrajaya,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan, baru-baru ini.

Terdahulu, Pakatan menetapkan teras manifesto gabungan itu dengan mensasarkan pelaksanaan Skim Peduli Sihat untuk warga Malaysia.

Untuk rekod, Skim Peduli Sihat mula diperkenalkan di Selangor menerusi tawaran pembiayaan kos rawatan asas kepada 250,000 keluarga atau sejuta rakyat Selangor berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Inisiatif itu turut menawarkan rawatan kesihatan asas secara percuma di 1,000 buah klinik swasta Selangor dan Lembah Klang yang berdaftar di bawah skim berkenaan.

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM125 juta bantuan kewangan bagi memastikan golongan sasar menerima manfaat jangka panjang skim itu.


Pengarang :