SELANGOR

SPAN gagal, Teck Meng harus letak jawatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Liang Teck Meng harus meletak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ekoran kegagalannya menjalankan tanggungjawab memenuhi misi dan visi suruhanjaya berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Balakong, Ng Tien Chee berkata, Teck Meng perlu bertangunggjawab atas kegagalan membaiki perkhidmatan air di seluruh negara, terutama Selangor.

“SPAN ditubuhkan dengan misi mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan adil, berkesan dan telus di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

“Ia juga bagi menyokong visi ke arah perkhidmatan air lestari, boleh dipercayai dan mampu dimiliki semua rakyat tetapi mereka gagal sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sejak Teck Meng mengambil alih jawatan itu pada 1 November 2016, ternyata tiada peningkatan dalam industri air di seluruh negara dan SPAN gagal mengawal selia kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash).

Katanya, masalah di LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 500,000 akaun di Lembah Klang, pada 6 Mac lalu dengan tiga pam di kawasan itu tidak dibaiki sejak 2016 menunjukkan kegagalan SPAN mengawal selia industri perkhidmatan air secara efektif.

Tien Chee berkata, Teck Meng juga gagal menasihatkan Kerajaan Persekutuan mengambil alih Splash seperti termaktub di bawah Seksyen 114 WSIA untuk melengkapkan penstrukturan semula perkhidmatan air.

“Ia membuktikan SPAN dan Kerajaan Persekutuan lebih berminat menggunakan isu air sebagai strategi politik menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam usaha merampas Selangor.

“Menurut WSIA, SPAN boleh menasihati atau mengesyorkan kepada menteri untuk membatalkan lesen individu di bawah beberapa keadaan dan dalam kes ini, jelas Splash gagal mematuhi syarat perlesenan mereka,” katanya.


Pengarang :