SELANGOR

SPAN tubuh jawatankuasa khas siasat isu paip pecah LRA SSP3

OLEH AFIX REDZUAN

CUBERJAYA, 16 MAC: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian paip pecah pada 6 Mac lalu di Loji Rawatan Air (LRA) SSP3, Bukit Badong, Kuala Selangor.

Pengerusinya, Datuk Liang Teck Ming berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai tiga suruhanjaya yang diketuai Datuk Lim Chow Hock.

Katanya, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) diberikan tempoh sehingga 23 Mac ini untuk mengemukakan laporan penuh kejadian yang mengakibatkan lima petugas di lapangan cedera.

“Satu jawatankuasa khas siasatan kejadian paip pecah di LRA SSP3 akan ditubuhkan bagi menyiasat secara mendalam kes paip pecah tempoh hari.

“Kita sudah menulis surah kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) untuk menyiapkan laporan mengenainya dan kita akan tunggu seterusnya menjalankan siasatan,” katanya.

Becakap pada sidang media di Ibu Pejabat SPAN di Cyberjaya beliau berkata, SPAN mempunyai kuasa menubuhkan suruhanjaya siasatan di bawah Seksyen 13, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654).

Di bawah Akta 655, SPAN diberikan kuasa mengawalselia dan memantau aspek ekonomi, teknikal dan sosial bagi industri perkhidmatan air dan pembentungan di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Peserkutuan, Putrajaya serta Labuan.

Dalam sidang media sama, Teck Ming turut menjelaskan, SPAN telah mengenalpasti LRA SSP3 mengalami kekurangan kadar pengeluaran air terawat dengan purata 880MLD sepanjang 2017 kepada 795 MLD pada penghujung Januari 2018.

“SPAN telah mengadakan satu lawatan tapak ke LRA SSP3 pada 5 Februari 2018 dan menjalankan audit ke atas sistem pam.

“Pada 15 Februari, SPAN menulis surat kepada SPLASH supaya menyegerakan kerja-kerja penyelenggaraan pam-pam yang rosak.

“Adalah tidak benar SPAN tidak menjalankan tugas, dan segala dakwaan wujudnya sabotaj juga tidak benar,” katanya.

Beliau menambah, Kerajaan Selangor mempunyai hak untuk mengambil tindakan ke atas SPLSH selain menggesa semua pihak tidak mempolitikkan isu ini dan menunding jari kepada SPAN dengan mendakwa agensi itu tidak menjalankan tanggungjawab.


Pengarang :