PBTSELANGOR

Stadium Mini MPAJ dibuka untuk kegunaan awam

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 23 MAC: Masyarakat di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berpeluang menggunakan kemudahan canggih di Stadium Mini MPAJ untuk aktiviti beriadah apabila siap nanti.

Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, beliau menjangkakan stadium itu akan mula dibuka kepada orang ramai, pada Jun ini.

“Keseluruhan projek stadiuim ini menelan kos RM19 juta dan status kemajuan di tapak ini sudah lebih 95 peratus. Kita sasarkan siap pada hujung Mac ini dan jangka pada April sudah boleh digunakan tetapi akan dibuka untuk kegunaan awam, pada Jun nanti.

“Kita juga akan buka balapan kepada orang awam pada sebelah pagi dan petang untuk orang ramai beriadah secara bersantai.

“Saya jangkakan majlis perasmian stadium ini pula, pada April nanti,” katanya pada Program Lawatan Tapak Ke Projek Pembinaan Stadium Mini MPAJ bersama Ahli Majlis MPAJ dan Wakil Media, di stadium terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang berminat menggunakan padang bola sepak perlu membuat permohonan terlebih dahulu kerana membabitkan isu penyelenggaraan dan keselamatan.

Katanya, MPAJ belum menetapkan kadar bayaran yang akan dikenakan untuk penggunaan padang, pada masa ini.


Pengarang :