AGAMASELANGOR

Stadium Mini MPAJ mesra OKU, miliki teknologi canggih

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 22 MAC: Stadium Mini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bukan sahaja memiliki sistem berteknologi terkini yang canggih, malah turut dilengkapi dengan ciri mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, stadium bernilai RM19 juta itu dibina mengikut spesifikasi dan piawaian antarabangsa seperti yang disyaratkan dalam kontrak.

“Kita dah tetapkan kontraktor yang kita lantik mesti mengikut spesifikasi dan piawaian antarabangsa di mana dalam kontrak kita telah mensyaratkan sebelum projek ini disiapkan mereka perlu mendapatkan pengesahan badan-badan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak projek pembinaan Stadium Mini MPAJ bersama Ahli Majlis MPAJ dan wakil media di stadium yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

Jelasnya, antara kemudahan mesra OKU yang terdapat di stadium padang sintetik itu seperti 10 tempat duduk khas untuk OKU, laluan khas OKU, kemudahan lif dan pakir khas OKU.

Sementara itu, ketika ditanya kemudahan lain yang terdapat berhampiran stadium, Hasrolnizam menjelaskan kawasan itu bakal dilengkapi dengan stesyen MRT pada masa akan datang.

“Selain 100 pakir dalam kawasan stadium dan pakir tambahan di kawasan luar, saya juga berterima kasih kerana kawasan ini juga menjadi laluan MRT yang membolehkan orang ramai datang ke stadium tanpa membawa kenderaan sendiri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :