SELANGORSUKANKINI

Stadium MPAJ bernilai RM19 juta lepasi piawaian FIFA

OLEH NAZLI IBRAHIM

AMPANG, 22 MAC: Stadium Mini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bernilai RM19 juta sedia dijadikan gelanggang kejohanan profesional apabila menerima sijil pengiktirafan badan induk bola sepak, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, wakil FIFA membuat pemeriksaan di stadium yang menggunakan padang rumput sintetik itu pada Februari lalu.

“Selain mendapat sijil FIFA stadium ini juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyediaan tempat duduknya yang boleh memuatkan 1,010 penonton tetapi kapasiti penuh boleh mencecah kira-kira 5,000 penonton pada satu masa.

“Selain itu mini stadium ini juga dilengkapi permukaan balapan berteknologi terkini dan kemudahan asas lain seperti bilik persalinan, bilik rawatan, persediaan media, ruang VVIP, tandas dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak di projek pembinaan Stadium Mini MPAJ bersama Ahli Majlis MPAJ dan wakil media di stadium yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan ini.

Jelasnya, ciri istimewa lain yang terdapat di stadium itu termasuklah sistem pencahayaan menggunakan lampu LED dengan bacaan pencahayaan 2,000 lux berbanding syarat minimum bagi perlawanan Liga Malaysia yang memerlukan 1,200 lux.

Katanya, lampu di stadium ini juga tidak bersifat statik tetapi boleh dilaras mengikut keperluan semasa untuk disesuaikan dengan kejohanan yang dijalankan.

Katanya lagi, ciri canggih dan kemudahan lain, sistem pengairan mengelakkan takungan air, bilik pengadil, bilik persidangan / media, stor alatan sukan, stor utiliti, bilik VIP, pentas VIP, bilik tangki air, bilik mesyuarat, pejabat, surau dan lain-lain.

“Jumlah ini cukup menampung kejohanan sederhana tetapi jika ada kejohanan besar kami telah menaiktaraf jalan-jalan sekitar stadium ini kepada empat lorong di mana lorong tepi sekali dijadikan dwi fungsi untuk meletakkan kenderaan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :