SELANGOR

Sultan berkenan idea IPR Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Kemajuan sesebuah negeri tidak diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi perlu menekankan indeks kebahagiaan sesebuah masyarakat bagi menentukan kejayaan kerajaan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, antara petanda kebahagiaan adalah alam sekitar hijau dan sihat, kebajikan rakyat terjamin, tahap kesihatan berkualiti dan indeks rasuah yang rendah.

“Beta berkenan dengan usaha Kerajaan Negeri yang bukan sahaja memberikan perhatian penting terhadap pertumbuhan ekonomi tetapi juga terus memelihara alam sekitar, melaksanakan program Inisiatif Peduli Rakyat merangkumi sektor kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

“Kerajaan Beta juga berpegang teguh kepada prinsip ketelusan dan integriti dalam pentadbiran,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam, Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-13 Tahun 2018 di DNS di sini, hari ini.

Jelas baginda, antara skim IPR itu termasuklah Skim Rawatan Jantung Selangor melalui kerjasama pintar dan strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk membantu rakyat Selangor khususnya golongan berpendapatan rendah.

Titah baginda, tidak terkecuali program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang memberi pengiktirafan terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tonggak pembangunan institusi keluarga dan masyarakat.

“Beta turut berkenan dengan kejayaan Kerajaan Negeri membangunkan hampir 25,000 perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku untuk rakyat jelata.

“Beta juga amat sukacita apabila 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di negeri Beta adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000. Demikianlah seharusnya dasar perumahan rakyat dilaksanakan,” titahnya lagi.


Pengarang :