SELANGOR

Sultan mahu rakyat kukuh perpaduan, tepis fitnah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan penyebaran berita palsu yang mendorong gejala fitnah semakin berleluasa, pada masa kini.

Baginda turut bimbang rakyat akan terdedah kepada perpecahan sekiranya keadaan itu berterusan.

“Sejak kebelakangan ini, Beta berasa amat dukacita apabila membaca sendiri berita palsu khususnya media sosial yang bercanggah dengan fakta sebenar.

“Apa yang membimbangkan Beta, ramai pula yang percaya kepada berita palsu ini lantas menyebarkannya tanpa memeriksa kesahihan sesuatu berita itu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Negeri ke 13, di Dewan Annexe, di sini.

Sehubungan itu, Baginda mengingatkan supaya rakyat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan dapat mengukuhkan perpaduan.

Titah baginda, rakyat perlu bersatu padu dan bertolak ansur antara satu sama lain sekiranya mahu mencapai negeri maju dan terus makmur.

“Rakyat perlulah bersatu padu dan bertolak ansur antara satu dengan lain serta tidak menimbulkan ketegangan yang boleh menyebabkan huru hara.

“Semangat keharmonian perlulah sentiasa disemarakkan dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan lain, tidak kira sesama umat Islam atau bukan Islam,” titah baginda.

Baginda menganggap rakyatnya umpama sebuah keluarga besar sekali gus perlu saling bermuafakat, bekerja dan berganding bahu memajukan negeri.

“Muafakat ini amat penting agar kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi ketika ini dapat berterusan,” titah baginda.


Pengarang :