BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima mengadap kembali 5 Pembesar Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 24 MAC: Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemahsyuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana Orang Besar Daerah Dan Dato’-Dato’ Diraja Selangor selamat disempurnakan hari ini di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima mengadap lima Pembesar Negeri yang kembali setelah meninggalkan Negeri Selangor selama tujuh hari selepas permahsyuran gelaran pada 17 Mac lalu.

Majlis penuh istiadat diraja itu dimulakan dengan mengadap Dato’ Diraja Selangor, Dato’ Setia Pekerti Diraja, Dato’ George Stewart LaBrooy.

Kemudian disusuli Dato’ Diraja Selangor, Dato’ Kurnia Bakti Diraja, Dato’ Mohd Effendi Abdullah, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Orang Jaya Maha Bijaya Petaling, Dato’ Emran Kadir dan Orang Besar Istana, Engku Panglima Setia Diraja, Yang Mulia Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail.

Istiadat mengadap diakhiri dengan Orang Besar Istana, Tengku Seri Perkasa Diraja, Tengku Musahidin Shah Tengku Abdul Samad Shah.

Kesemua lima Pembesar Negeri itu turut mempersembahkan cenderamata kepada Sultan Selangor sambil disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tengku Amir Shah.

Istiadat diakhiri dengan bacaan doa yang disampaikan Sohibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

=EZY=


Pengarang :