BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor hadiri pengkebumian Allahyarham Dato’ Abdul Halim

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berangkat mencemar duli menghadiri majlis pengkebumian Anggota Dewan Diraja Selangor, Allahyarham Dato’ Abdul Halim Abdul Rauf di Makam Diraja Shah Alam di sini, hari ini.

Menyertai baginda memberi penghormatan terakhir pada kira-kira jam 5.30 petang itu ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan kerabat diraja lain.

Turut bersama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama pimpinan Kerajaan Negeri serta hadirin lain.

Sebelum itu, Mohamed Azmin bersama jemaah menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), selepas solat Asar.

Solat jenazah diimamkan Imam Besar MSSAAS, Muhammad Farhan Wijaya.

Abdul Halim, 79, meninggal dunia kira-kira jam 8.30 pagi tadi di Petaling Jaya, akibat kanser.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam kenyataannya berkata, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Noralis Abdullah dan tiga anak lelaki.

Selain pernah dilantik menjadi Anggota Jemaah Pengampunan Negeri Selangor serta Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Abdul Halim juga dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.


Pengarang :