ALAM SEKITAR & CUACABERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor, Permaisuri cemar duli sertai Program Tanam Pokok Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al- Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menyempurnakan Program Tanam Pokok Selangor 2018 di Hutan Simpan Sepang Kechil, Pantai Bagan Lalang, di sini, hari ini.

Majlis itu diadakan sebagai inisiatif menyemarakkan lagi persekitaran hijau di negeri ini.

Bagi simbolik penyempurnaan program, baginda berkenan mencemar duli menyempurnakan acara penanaman pokok bakau bersama Tengku Noorashikin dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Program tanaman pokok juga cukup istimewa apabila baginda lebih selesa melakukannya bersama-sama peserta program terbabit di sekitar kawasan pantai.

Turut hadir Exco-exco Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, Mohamed Azmin dalam ucapan sembah perasmian program berkata, Kerajaan Negeri sentiasa konsisten dalam memelihara persekitaran hijau di Selangor.

“Satu pembentangan rang undang-undang juga akan diadakan berkenaan melaksanakan hukuman lebih berat kepada penceroboh hutan.

“Ia adalah sebagai usaha bagi memelihara aktiviti perhutanan di negeri ini termasuk memberi galakan kepada masyarakat supaya menghargai ekosistem dan pembangunan hijau negeri.

“Keberangkatan Tuanku dalam program ini menjadi inspirasi untuk memelihara dan memulihara hutan sebagai elemen penting dalam ekosistem semula jadi,” katanya.

Dalam program itu, seramai 2,500 peserta mengambil bahagian menanam sebanyak 3,000 pokok bakau di sekeliling pantai berkenaan.

=EZY=


Pengarang :