SELANGOR

#TakeMeAnywhere ke Berlin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 MAC: Kempen Discover Selangor, #TakeMeAnywhere melebarkan sayapnya ke International Tourismus Borse (ITB), Berlin bagi memperluaskannya, sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke Selangor.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, #TakeMeAnywhere digunakan sebagai slogan untuk memperkuatkan promosi semasa, selain menunjukkan Selangor sebagai hab pengangkutan, pembangunan, pelaburan, perniagaan, pendidikan dan perubatan.

“Tahun melawat daerah dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan untuk membangunkan daerah masing-masing sebagai tempat pelancongan dan bermaklumat. Tahun ini, Kuala Langat dipilih melaksanakannya.

“Pelbagai program dan aktiviti pelancongan dirancang dan dilaksanakan mengikut keunikan serta daya tarikan daerah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 7.43 juta pelancong dari seluruh dunia berkunjung ke Selangor, tahun lalu dengan 400,000 dari Eropah.

Noorul Ashikin berkata, jumlah itu meningkat 2.02 peratus berbanding 2016.

“Tourism Selangor menjangkakan 7.5 juta pelancong akan tiba di Selangor dengan peningkatan 0.91 peratus.

Terdahulu, pelan pembangunan industri pelancongan negeri dirangka secara efektif bagi memastikan Selangor menjadi destinasi pelancongan menarik, di negara ini.

Tourism Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, enam teras utama pelan berkenaan akan dijayakan, pada tahun ini.

#TakeMeAnywhere adalah sebahagian daripada kempen promosi untuk tahun ini menerusi kepelbagaian program, pameran dan acara.

Kempen itu diteruskan menerusi kaedah promosi digital menggunakan media sosial seperti Youtube dan pengiklanan di Google Display.


Pengarang :