NASIONAL

Tambah baik pusat operasi cuaca dan gempa bumi Sabah

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah ditambah baik bagi mengesan kejadian gempa bumi bermagnitud serendah 1.0 skala richter, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata, sebanyak 15 lagi stesen seismik ditambah kepada komponen pengumpulan data dan maklumat pusat berkenaan baru-baru ini dengan kos sebanyak RM12.1 juta.

“Pusat ini mampu mengesan kejadian gempa bumi dengan lebih cekap dalam usaha mengesan kejadian gempa bumi.

“Melalui penambahan stesen ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 28 stesyen seismik di Sabah,” katanya ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Wilfred berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jumat Idris (BN-Sepanggar) yang mengenai inisiatif dilakukan kerajaan dalam menambah baik sistem pengesanan gempa bumi dan tsunami negeri Sabah.

Pada bulan ini, Sabah merekodkan tiga gempa bumi di Ranau dalam tempoh seminggu dengan magnitud tertinggi dicatatkan pada 5.2 pada skala richter, 8 Mac lepas, diikuti 3.1 skala richter sehari berikutnya dan pada 11 Mac.

=EZY=


Pengarang :