BERITA UTAMASELANGOR

Tanah Ijok: Umno-BN digesa tidak perguna SPRM serang Kerajaan Selangor

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Umno Barisan Nasional (UMNO-BN) digesa tidak mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerang Kerajaan Selangor berhubung kes tanah Ijok.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau bertekad mempertahankan rakyat dan peneroka walau Umno-BN cuma menjatuhkan Kerajaan Negeri.

Beliau juga menegaskan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad untuk tidak mengugut Kerajaan Selangor dalam kes tanah Ijok.

Beliau berkata demikian berhubung tindakan SPRM memanggil peneroka asal untuk membantu siasatan kes penjualan tanah kira-kira 880 hektar itu.

“Mengapa Umno marah dengan saya bila saya tolong 980 peneroka? Kenapa Umno sanggup tolong syarikat daripada tolong rakyat?.

“Kenapa Umno-BN menggunakan SPRM untuk serang saya? Jika ada pegawai SPRM di sini sila ambil keterangan dan beritahu Ketua Pesuruhjaya SPRM jangan cuba ugut kerajaan negeri.

“Kita boleh berbeza politk dan pandangan tetapi ADN Dengkil perlu terima hakikat Kerajaan Negeri berjaya bantu 980 peneroka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan ADN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri, di sini semalam.

Mohamed Azmin berkata, sebahagian besar daripada peneroka datang bertemu beliau di Stadium Kuala Selangor dengan berkerusi roda malah 358 daripada 980 peneroka telah meninggal dunia.

“Mereka datang dalam keadaan yang uzur, tetapi Umno sanggup menggunakan SPRM menyerang saya dan Kerajaan Negeri dan kini mula menyerang dan mengugut peneroka,” katanya.

Mohamed Azmin dalam ucapannya turut menunjukkan peta tanah Ijok yang sebenarnya terbahagi kepada 3 kawasan iaitu Alam Perdana, Alam Mutiara dan Alam Utama.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata Umno-BN merancang memainkan kes tanah Ijok sebagai modal menjelang PRU-14.

=EZY=


Pengarang :