ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Tangani pencerobohan hutan, pelihara alam sekitar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Sebanyak 20 kes bagi pencerobohan hutan dan kecurian di Hutan Simpan Bakau dikenalpasti setakat ini, sepanjang persisiran pantai Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata daripada jumlah itu, sejumlah 4,811 batang kayu jaras bakau dirampas membabitkan keluasan empat hektar kawasan diceroboh.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) akan memulihkan kawasan hutan diceroboh dengan aktiviti penanaman semua spesis pokok bersesuaian.

“JPNS turut menganjurkan program kesedaran membabitkan penyertaan pelajar dari institusi setempat dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya di Sidang Dewan Negeri (DNS) bagi menjawab soalan Datuk Shamsuddin Lias-Sungai Burong.

Pada masa sama, Elizabeth berkata JNPS turut mengambil tindakan perobohan rumah dan pondok yang didirikan secara haram di kawasan hutan simpan Sabak Bernam.

“Semua pihak diharapkan bekerjasama menyalurkan aduan kepada Kerajaan Negeri atau JPNS sekiranya menyedari terdapat pencerobohan hutan sama ada aktiviti penebangan atau pembinaan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan pemantauan berkala bagi menangani aktiviti pencerobohan itu secara berkala.

Januari lalu, sebuah syarikat pengimport kayu bakau di Banting disyaki menggunakan dokumen palsu selain mendakwa mendapat permit dari Indonesia bagi membawa masuk kayu bakau dari negara jiran.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, ini susulan penemuan lebih 20,000 kayu bakau ketika mengadakan lawatan kerja luar semalam.

Katanya, syarikat berkenaan didapati menyimpan kayu bakau melebihi 20,000 batang kayu yang diisytiharkan.


Pengarang :