SELANGOR

Tempoh masa lebih singkat melalui jalan alternatif B20

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 14 MAC: Jarak perjalanan ke Kota Warisan dan Bandar Baru Salak Tinggi akan menjadi lebih singkat apabila projek pembinaan laluan alternatif iaitu jalan sambungan B20 (missing link) yang menghubungkan Kota Warisan dan Salak Tinggi, siap sepenuhnya menjelang November 2020 kelak.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pengguna tidak perlu lagi melalui jalan persekutuan FT29 dan FT32 apabila mempunyai pilihan lain.

“Sebagai contoh, pengguna dari Taman Ixora atau Salak Tinggi yang ingin ke Kota Warisan tidak perlu lagi melalui jalan utama, iaitu laluan sedia ada.

“Sebaliknya, mereka boleh melalui jalan B20 (apabila siap nanti) dengan tempoh perjalanan lebih singkat iaitu dari jangkaan masa 15 hingga 20 minit kepada lima hingga 10 minit sahaja.

“Selain itu, jalan ini dapat menghubungkan kawasan Kota Warisan, Taman Ixora, Ixora Hill Park, Taman Dahlia, Taman Seroja serta kemudahan awam seperti Stadium Sepang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah jalan sambungan B20 daerah Sepang, baru-baru ini.

Zaidy berkata, ia juga akan memberikan impak sosio-ekonomi kepada penduduk setempat dan industri sekitar Kota Warisan.

“Di samping itu, pengangkutan logistik untuk menampung keperluan industri juga menjadi lebih efektif kerana tempoh masa dan jarak perjalanan akan menjadi lebih singkat.

“Di sekitar Kota Warisan juga terdapat lot-lot industri yang belum dan telah dibangunkan. Justeru, dengan adanya kemudahan infrastruktur ini, ia secara tidak langsung dapat membangunkan sektor perindustrian di kawasan sekitar Kota Warisan dan Salak Tinggi,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya Selangor telah meluluskan projek pembinaan jalan itu yang menghubungkan kawasan Kota Warisan dengan Salak Tinggi dalam usaha mengurangkan kesesakan lalulintas.

Sebanyak RM51 juta digunakan untuk membina laluan empat lorong dua hala itu yang dipisahkan oleh landasan Express Rail Link (ERL) berdekatan stesyen ERL Salak Tinggi secara berperingkat, bermula November 2017 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

=EZY=


Pengarang :