BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri lancar Projek Rejuvenasi STAJ

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 MAC: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melancarkan projek Rejuvenasi Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Jemaah (STAJ) Pelabuhan Klang, 1 Mac lalu.

Menurut satu kenyataan dilaman Instagram Selangor Royal, program lapan tahun yang disokong oleh Persatuan Alumni STAJ itu dirancang sebagai usaha mentransformasikan STAJ secara berperingkat dari segi pembangunan fizikal dan kandungan pembelajaran ke arah sebuah Pusat Kecemerlangan setanding dengan sekolah-sekolah antarabangsa.

Projek rejuvenasi itu merupakan inisiatif mengumpul semula bekas pelajar sekolah tersebut supaya dapat bersama-sama menyumbang kepada institusi berusia 50 tahun itu.

Antara sasaran yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lapan tahun ialah memperkasa pembangunan STAJ dari segi infrastruktur dan kemudahan pembelajaran, demi manfaat generasi akan datang.

Dalam majlis sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menandatangani plak dan meletakkan Kapsul Masa projek pembangunan bersepadu STAJ 2018-2026.

Baginda diiringi oleh Orang Besar Daerah Klang, YAD Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir.

 


Pengarang :