BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permasuri lawat Klinik Veterinar UPM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MAC: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melawat Klinik Veterinar yang menyediakan perkhidmatan untuk orang awam dan entiti.

Klinik terbabit menempatkan Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (VLSU) yang menyediakan kemudahan perkhidmatan diagnosis makmal.

Baginda bertitah Klinik Veterinar di Fakulti Perubatan Veterinar UPM itu boleh menjadi penanda aras kepada klinik veterinar lain dari aspek perkhidmatan inklusif yang ditawarkan untuk setiap haiwan peliharaan untuk rawatan.

“Usaha dilakukan fakulti ini mampu memberi kesedaran kepada pemilik haiwan peliharaan menjaga kebajikan haiwan masing-masing dan mendapatkan rawatan serta konsultasi terbaik,” titahnya.

Baginda turut tertarik dengan setiap perkhidmatan perubatan disediakan termasuk kelengkapan dan peralatan perubatan yang canggih serta moden bagi merawat haiwan peliharaan dan ternakan.

“Saya terharu dan bangga melihat sendiri keprihatinan dan tahap keseriusan kakitangan termasuk pelajar UPM dalam bidang veterinar yang pakar dan mahir dalam mengendalikan haiwan di sini,” titah baginda.

Baginda berharap klinik terbabit digunakan sebaiknya bagi tujuan membendung dan mengawal populasi kucing dan anjing terbiar daripada terus membiak tanpa jagaan sewajarnya.

Pada masa sama, baginda mahu klinik itu aktif dalam menjalankan rawatan pemandulan (neuter).

“Saya juga ingin menyeru buat kesekian kalinya kepada penggemar haiwan peliharaan untuk menjadi keluarga angkat kepada haiwan-haiwan terbiar,” titahnya.

Keberangkatan Baginda disambut Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris; Ahli Lembaga Pengarah UPM, Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah dan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof Dr Mohd Hair Bejo.


Pengarang :