PBTSELANGOR

Tiada kompromi isu penjaja haram Bandar Mahkota Cheras

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak akan berkrompomi dengan mana-mana individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, tindakan kompaun maksimum boleh dikenakan sebagai peringatan keras kepada masyarakat supaya menjalankan perniagaan secara sah.

“Tiada sebarang tolak ansur.

“MPKj akan menjalankan serbuan dan mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun kepada pesalah ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di Menara MPKj, semalam.

Beliau diminta mengulas rungutan Persatuan Pusat Komersial Bandar Mahkota Cheras, di Laman Penjaja Bandar Mahkota Cheras yang mendedahkan wujudnya operasi perniagaan tanpa lesen di premis berkenaan.

Ia susulan protes yang diadakan persatuan itu sebagai tuntutan supaya pengusaha yang menjalankan aktiviti perniagaan secara haram dikenakan tindakan.

Pada 26 Disember lalu, persatuan itu mengadakan protes ketiga berkaitan isu terbabit di Jalan Temenggung 7/9 dengan dua lagi protes diadakan, pada Februari dan April 2016.

Bagaimanapun persatuan itu mendakwa, tiada sebarang tindakan diambil pihak berkenaan, walaupun aduan sudah dikemukakan kepada ahli majlis.

SelangorKini sebelum ini mendedahkan, tapak berkenaan kini digunakan penjaja bermusim menyebabkan berlaku kekeliruan di antara persatuan peniaga itu dan MPKj.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Razaly Hassan berkata, perbincangan berterusan akan diadakan bagi mendapat respon positif daripada ahli majlis dan wakil peniaga.

“MPKj belum mempunyai keputusan, namun kita akan adakan pertemuan semula dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu ini dengan segera,” katanya.


Pengarang :