SUKANKINI

Timothy Weah, pemain muda terbaru ikut jejak bapa wakili negara

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 29 MAC: Pemain kelab Paris Saint-Germain (PSG), Timothy Weah menjadi pemain muda terbaru mengikut jejak langkah bapanya melakukan penampilan pertama di peringkat antarabangsa dengan mewakili Amerika Syarikat ketika perlawanan bertemu Paraguay, Selasa lalu.

Anak kepada Presiden Liberia dan Pemain Terbaik FIFA 1995, George Weah berusia 18 tahun ini layak mewakili Amerika Syarikat kerana dilahirkan di New York serta pernah bermain bersama kelab New York Red Bulls pada 2014.

Beliau merupakan pemain kelahiran tahun 2000 pertama yang beraksi bersama Amerika Syarikat ketika menewaskan Paraguay 1-0 tampil sebagai pemain gantian pada minit ke-86.

Lebih manis, Timothy turut melakukan penampilan pertama bersama PSG pada 3 Mac lalu, dua minggu sebelum menyambut ulangtahun kelahiran ke-18.

Sebelum ini, anak lagenda Belanda, Patrick Kluivert, Justin Jr turut melakukan penampilan pertama bersama The Oranje ketika pasukannya menewaskan Portugal 3-0 Isnin lalu.

Pemain sayap Ajax Amsterdam berusia 18 tahun ini membuat penampilan pertama sebagai pemain gantian pada minit ke-77 selepas mempamerkan aksi cemerlang di peringkat liga dengan tujuh gol dan empat bantuan gol.

Antara pemain muda lain yang mengikut jejak bapa beraksi di peringkat antarabangsa adalah Giovani, anak kepada jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone (Argentina) dan Enzo Zidane, anak jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane (Perancis dan Sepanyol).

 

Kredit Foto: AFP


Pengarang :