PBTSELANGOR

Tingkat ‘Citizen Engagement’, MPAJ berjaya tangani cabaran perbandaran

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berjaya meningkatkan aspek ‘citizen engagement’ yang giat dilaksanakan di peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu berjaya menyelesaikan isu cabaran perbandaran secara inovatif dan komprehensif.

Namun katanya, kejayaan itu harus didukung komitmen untuk mengangkat martabat dan kebajikan masyarakat bandar dan luar bandar secara berterusan.

“Kita perlu ambil pendekatan secara inovatif selaras pelaksanaan dasar smart bagi melahirkan majlis perbandaran yang membangun tanpa perlu berada di takuk yang lama.

“Saya cukup bangga dengan prestasi MPAJ dan tentunya di peringkat Kerajaan Negeri saya akan terus mendukung aspek pembangunan di Ampang Jaya ini.

“Namun program berterusan harus diteruskan bagi mendukung hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ 2017 di Hotel Flamingo, Ampang malam tadi

Terdahulu, MPAJ optimis mengekalkan prestasi cemerlangnya dengan terus mendukung aspirasi pembangunan komuniti di peringkat Kerajaan Selangor.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussein berkata, MPAJ kekal relevan dalam menyumbang bakti secara efektif kepada komuniti dengan melaksanakan prinsip ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusannya.

=EZY=


Pengarang :