NASIONAL

Titah Agong cerminkan kemuliaan institusi raja

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V mencerminkan kemuliaan institusi raja-raja yang tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak politik.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata, beliau percaya hal ini berikutan baginda tidak mahu institusi raja-raja diheret dalam pertempuran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Titah diraja agak ringkas. Saya mengambil titah ucapan tuanku kerana tuanku menyedari bahawa keadaan sekarang agak sensitif dan lebih baik elakkan menunjukkan menyebelahi mana-mana pihak.

“Jadi, duli tuanku telah bertindak secara cukup berhati-hati, profesional dan menunjukkan kemuliaan institusi raja-raja ini tidak diheret dalam pertempuran semasa pilihan raya nanti,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu.

Terdahulu, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan perasmian menyentuh beberapa isu termasuk isu yang dekat di hati rakyat seperti tekanan kos sara hidup, kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat, pengangkutan awam dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, baginda turut menekankan aspek keselamatan dan kedaulatan negara serta isu gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah di kalangan remaja khasnya.

=EZY=


Pengarang :