NASIONAL

Tolak soalan skandal Najib, MP tuntut penjelasan Pandikar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 6 MAC : Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dituntut memberi penjelasan berhubung tindakan Dewan Rakyat menolak pertanyaan bertulis, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin.

Shamsul berkata, soalan berkait hasil siasatan terkini pihak polis terhadap laporan umum skandal kewangan RM9.2 juta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Umno, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, ditolak tanpa prejudis.

“Saya inginkan penjelasan daripada Speaker kerana saya percaya dalam kanun prosuder jenayah serta semua laporan polis perlu disiasat dan polis sendiri boleh mendedahkan kepada pengadu hasil daripada siasatan itu.

“Isu ini besar, banyak laporan sudah dibuat termasuk majlis peguam yang sudah membuat laporan polis agar kes ini disiasat.

“Namun seperti biasa, maklumbalas daripada menteri sudah ada siasatan atau masih dalam siasatan (tanpa jelas),” katanya selepas membangkitkan Peraturan Mesyuarat di Dewan Rakyat pagi ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat menolak soalan berkenaan atas alasan, soalan berkenaan bersifat tohmahan dan prejudis terhadap pentadbiran Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Shamsul di bawah Peraturan Mesyuarat (23 (1) (C) menuntut penjelasan menyeluruh diberikan kepada sidang Dewan.

Pandikar dalam kenyataan balasnya memaklumkan akan mempertimbang perkara berkenaan, sebelum di bawah kepada perbahasan sidang Dewan.

“Saya ambil maklum dan akan semak,” katanya.

Sarawak Report sebelum ini mendedahkan Perdana Menteri membayar RM9.5 juta kepada Muhammad Shafee menerusi transaksi yang dibuat daripada syarikat milik negara, SRC International Sdn Bhd iaitu bekas anak syarikat 1MDB.


Pengarang :