SELANGORSUKANKINI

Tourism Selangor sasar 10,000 peserta sertai MWM tahun hadapan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 4 MAC : Tourism Selangor mensasarkan 10,000 peserta bakal menyertai acara Malaysia Women Marathon (MWM) yang dilaksanakan pada tahun akan datang.

Pengarah Urusan Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, besar harapan beliau supaya Kerajaan Negeri dapat menyediakan peruntukan lebih lagi bagi mencapai objektif tersebut.

“Jika dilihat acara MWM ini mendapat sambutan yang amat membanggakan dengan penyertaan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

“Pada tahun pertama ia dilaksanakan kita menerima penyertaan daripada 1,000 peserta sedangkan edisi ke enam kali ini ia sudah meningkat kepada lebih 6,000,” katanya.

Noorul Ashikin berkata, ia tidak mustahil untuk Tourism Selangor mensasarkan penyertaan hingga ke 10,000 peserta memandangkan MWM sudah mendapat perhatian hingga ke serata dunia.

“MWM memainkan peranan penting bagi menarik pelancong domestik dan asing untuk datang ke Selangor malah hari ini sahaja penglibatan peserta dari 18 negara amat membanggakan kita,” katanya.

Terdahulu, acara larian MWM 2018 siri keenam terus dilaksanakan selaras dengan sambutan Hari wanita Sedunia yang jatuh pada tanggal 8 Mac setiap tahun.

MWM 2018 menawarkan hadiah keseluruhan RM43,000 membabitkan empat kategori, iaitu ‘Full Marathon’ dengan jarak 42 kilometer (km), ‘Half Marathon’ (21km), 10km dan 5km ‘fun run’.

Acara pelepasan peserta dilakukan secara berperingkat bermula jam 4 pagi hingga 7.15 pagi bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, hari ini.

=EZY=


Pengarang :