GLOBAL

Toys ‘R’ Us siap sedia tutup 800 cawangan dan operasi di AS

GLOBAL 12 MAC: Syarikat gergasi jualan mainan kanak-kanak Toys ‘R’ Us kini membuat persiapan menutup 800 cawangan perniagaan dan operasinya di seluruh Amerika Syarikat (AS).

MailOnline melaporkan, syarikat yang disifatkan dalam keadaan ‘nyawa-nyawa’ ikan itu dijangka mengumumkan keputusan mengenai masa depan syarikat tersebut.

Penutupan tersebut dipercayai terpaksa dilakukan selepas syarikat berkenaan berhadapan kesukaran mencari rakan niaga atau peminjam wang untuk menstrukturkan semula hutang, lapor laman web ekonomi, Bloomberg.

Januari lalu, syarikat berkenaan mendedahkan rancangan untuk menutup perniagaannya di 184 lokasi di AS.

Keputusan berkenaan bakal menyaksikan beberapa gudang perniagaan syarikat itu dibubarkan berikutan pendengaran perbicaraan muflis di Richmond, Virgina, kata sumber kepada Wall Street Journal.

Toys ‘R’ Us diisytiharkan muflis pada September lalu, menerima pinjaman baharu bernilai AS$3.1 bilion (RM12.1 bilion) sebagai langkah memulihkan potensi perniagaannya.

Bagaimanapun sepanjang musim cuti panjang lalu, syarikat itu masih gagal memberi keyakinan terhadap masa depan syarikat permainan tersebut.

Syarikat itu di Britain telah dikenakan tindakan pentadbiran pada Februari lalu, tetapi di Asia, Toy ‘R’ Us dilaporkan masih mampu meraih keuntungan di kebanyakan kawasan.

Sementara di Kanada, syarikat tersebut turut berdepan diisytiharkan muflis, namun syarikat Pemasaran VP memberitahu CBC: “Perniagaan kami di Kanada berjalan seperti biasa”.

SUMBER: AGENSI


Pengarang :