GLOBAL

Toys ‘R’ Us tutup jual kedai di AS, jejas 33,000 pekerja

GLOBAL 15 MAC: Firma pengeluar permainan kanak-kanak terkemuka, Toys ‘R’ Us, bercadang menjual atau menutup semua kedainya di Amerika Syarikat, berpotensi menjejaskan 33,000 pekerja, lapor media semalam.

Peruncit dibebani hutang itu, yang memfailkan notis perlindungan muflis September lalu, memberitahu pekerja ia merancang memfailkan kertas penyelesaian menjelang sesi pendengaran mahkamah hari ini, menurut laporan The Wall Street Journal dan Washington Post.

“Kami menaikkan tanda jualan ke atas semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Brandon, pada sesi persidangan dengan kakitangan syarikat itu.

Bermula pada 1948 di tengah kerancakan ekonomi AS selepas perang, Toys ‘R’ Us memiliki 881 kedai di AS dan hampir 65,000 pekerja di seluruh dunia, menurut sidang akhbar terkini firma berkenaan bulan lalu.

Syarikat beribu pejabat di New Jersey itu dibebani hutang susulan pembelian ambil alih pada 2005 oleh konsortium termasuk Kumpulan KKR dan Bain Capital.

Seperti juga kebanyakan peruncit lain, Toys ‘R’ Us juga terkesan dengan persaingan daripada Amazon dan peruncit atas talian lain.

Pengarah Urusan GlobalData Retail, Neil Saunders, menyalahkan kepemimpinan teruk sebagai sebab kepada masalah syarikat berkenaan.

SUMBER: AFP


Pengarang :