GLOBAL

Trump pecat Penasihat Keselamatan Kebangsaan

GLOBAL 24 MAC: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila memecat Penasihat Keselamatan Kebangsaan, HR McMaster dan menggantikan tempatnya dengan bekas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), John Bolton.

Trump mengumumkan perkara itu menerusi akaun Twitter miliknya dengan menulis: “Dengan berbesar hati ingin saya umumkan bahawa bermula 4 September 2018, John Bolton akan menjadi Penasihat Keselamatan Kebangsaan yang baharu.”

 

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada McMaster atas sumbangan serta jasa yang diberikan sepanjang perkhidmatannya dalam pentadbiran AS.

Pengumuman itu juga dibuat beberapa hari selepas beliau memecat Setiausaha Jabatan Negara AS, Rex Tillerson dan menggantikannya dengan bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

Pengumuman pemecatan McMaster bagaimanapun sudah dijangka namun pemilihan Bolton dilihat mengejutkan banyak pihak.

Pemilihan Bolton juga mendapat tentangan keras daripada pelbagai pihak, terutamanya pegawai-pegawai tentera AS yang pernah bertugas dengannya sambil menyifatkan beliau sebagai seorang yang terlalu agresif ketika berkhidmat.

Selepas dilantik secara rasmi, Bolton akan bertanggungjawab menjaga dan menyusun dasar luar AS serta membuat keputusan berhubung keselamatan negara sebelum dimuktamadkan oleh Trump.

Pendekatan ideologi yang digunakan oleh Bolton dilihat bersesuaian dengan retorik Trump berhubung dasar-dasar negara ini biarpun kedua-duanya tidak mempunyai persetujuan mengenai peperangan luar.

Seorang daripada wakil Republikan yang enggan identitinya didedahkan mengakui ada sesetengah pihak berasa bimbang dengan pelantikan Bolton.

“Ada pihak yang berpendapat Bolton terlalu agresif, namun bagi mereka yang pernah berkhidmat dengannya menyifatkan beliau sebagai seorang yang profesional dan melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Dalam pada itu, Bolton ketika ditemu bual Fox News memberitahu, beliau akan berusaha untuk menjadi penasihat keselamatan terbaik kepada pentadbiran Trump.

“Saya mempunyai pandangan tersendiri dan yakin berpeluang untuk menyampaikan kesemua pandangan tersebut kepada Presiden. Jika kerajaan AS tidak membenarkan pertukaran idea secara bebas dalam kalangan penasihat Presiden, maka keadaan itu menunjukkan Trump tidak dilayan dengan baik,” jelasnya.

Tidak seperti Setiausaha Negara atau Setiausaha Pertahanan, Penasihat Keselamatan Kebangsaan berkhidmat secara terus untuk Presiden dan tidak memerlukan Dewan Senat meluluskan pelantikannya.

McMaster sebelum ini pernah mengutarakan keinginan untuk bersara sebagai Penasihat Keselamatan Kebangsaan pada musim panas tahun ini selepas berkhidmat selama 34 tahun.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :