KENYATAAN MEDIA

Tunai janji lama sebelum buat janji baharu

Angin pilihan raya sudah mula bertiup kencang baru baru ini, tetapi bagi kami di pihak Mahasiswa Pakatan Harapan, tiada apa-apa yang lebih kencang daripada cadangan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menaikkan gaji minimum graduan TVET dan pekerja mahir kepada RM3,500.

Mahasiswa Pakatan Harapan menerima dengan baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, kerana walaupun hanya janji palsu yang diberi ianya masih lebih baik daripada kesepian yang membisu berkenaan nasib anak muda selepas kemenangan Barisan Nasional pada pilihanraya yang lalu.

Pihak kami sedar bahawa cadangan yang sama pernah diungkapkan oleh Pegawai Khas beliau, Mohd Rizmel Nazrin ketika ditemuramah oleh Utusan Malaysia pada 13 Mac 2018. Oleh itu, kita boleh simpulkan bahawa cadangan yang disebutkan baru-baru ini oleh Timbalan Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang disebut secara spontan, tetapi ianya sekurang-kurangnya sudah dibincangkan beliau bersama pegawai kanannya.

Justeru, Mahasiswa Pakatan Harapan ingin melontarkan beberapa persoalan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan cadangan beliau ini:

1. Adakah cadangan ini sudah dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet bersama menteri-menteri berkaitan ataupun adakah ianya hanya suatu idea daripada pejabat beliau yang masih belum ataupun tidak mendapat sokongan kerajaan untuk perlaksanaan.

2. Adakah pihak Timbalan Perdana Menteri sudah mengambil kira kos perniagaan yang akan meningkat kerana kenaikan gaji minima buat pekerja mahir ini.

3. Adakah pihak Timbalan Perdana Menteri sedar bahawa kenaikan kos perniagaan ini akan menyebabkan kenaikan kos harga barang. Justeru meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

4. Adakah pihak Timbalan Perdana Menteri sedar bahawa cadangan ini berpotensi untuk meningkatkan kadar pengangguran graduan yang sudah pun berada di tahap yang amat kritikal.

5. Adakah pihak Timbalan Perdana Menteri juga sedar akan sebab utama mengapa gaji minima yang ditetapkan untuk pekerja mahir asing diletakkan di paras yang tinggi berbanding dengan purata gaji pekerja mahir tempatan.

Pihak kami juga ingin menggesa Timbalan Perdana Menteri untuk mendedahkan pengiraan bagaimana jumlah RM3,500 ini diperolehi, kos pengiraan gaji minima seharusnya dikira berdasarkan kiraan peratusan purata gaji yang kini diperolehi oleh golongan pekerja mahir dan bukanlah dibuat berdasarkan kos sara hidup semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi negara secara menyeluruh.

Janji manis Timbalan Perdana Menteri ini berkemungkinan besar hanya di buat untuk memancing undi demi menyelamatkan kerusi parlimen Bagan Datoh beliau yang semakin tahun semakin tipis majoriti kemenangannya. Tidak lama dahulu, ketika pilihanraya umum pada tahun 2004 Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mudahnya boleh menang dengan lebih daripada 12,000 undi berbanding pihak lawan. Tetapi pada pilihanraya yang lepas beliau hanya memenangi kerusi parlimen tersebut dengan 2,000 undi majoriti berbanding pihak lawan.

Gelombang rakyat menentang kerajaan zalim sudah semakin kuat dan bertenaga. Oleh itu, semakin manislah janji-janji yang terpaksa di buat oleh kerajaan sedia-ada untuk mencengkam kepada kuasa mereka. Mahasiswa Pakatan Harapan ingin mencadangkan untuk Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri sekutunya untuk tunaikan dahulu janji Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu sebelum cuba untuk melahirkan janji-janji baharu.

MAHASISWA PAKATAN HARAPAN

Na’im Brundage
Mahasiswa Keadilan Malaysia

Khuzairi Mazlan
Mahasiswa Amanah Nasional

Abdul Hannaan Khairy
Exco Pemuda PPBM

Leong Yu Sheng
DAPSY Biro Hal Ehwal Varsiti


Pengarang :