Kredit Foto: UEFA Europa League
GLOBAL SUKANKINI

UEL: Arsenal, Atletico Madrid, Marseille selesa

OLEH AFIX REDZUAN

MILAN, 9 MAC: Arsenal membawa kelebihan selesa untuk aksi kedua pada pusingan 16 pasukan terbaik Piala Europa (UEL) apabila menewaskan AC Milan 0-2.

Dua jaringan babak pertama menerusi Henrik Mkhitaryan dan Aaron Ramsey hasil gerakkan Mesut Oezil memastikan The Gunners bangkit daripada empat kekalahan berturut-turut, sebelum ini.

Atletico Madrid turut melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Lokomotiv Moscow di gelanggang sendiri, awal pagi tadi.

Saul Niguez memastikan Atletico dihadapan pada babak pertama menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti.

Kredit Foto: UEFA Europa League

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu menambah lagi dua jaringan pada babak kedua menerusi Diego Costa sebelum Koke melengkapkan bekalan selesa 3-0 pada penghujung permainan.

Nasib berbeza dilalui Borussia Dortmund apabila tewas 1-2 kepada Salzburg, di gelanggang sendiri.

Tanpa jaringan di babak pertama, dua jaringan Valon Berisha pada minit ke-49 dan 56 memberikan kelebihan selesa buat Salzburg.

Andre Shuerrle merapatkan kedudukan 1-2 buat Dortmund pada minit ke-62 dan keputusan itu kekal, sehingga tamat perlawanan.

Sementara gandingan Dimitri Payet dan Lucas Ocampos memastikan Marseille membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik kedua selepas menewaskan Athletic Bilbao 3-1.

Ocampos membuka tirai jaringan seawal minit pertama sebelum Payet menggandakan jaringan 2-0, 13 minit kemudian.

Aritz Arduriz menjadikan kedudukan 2-1 pada penghujung babak pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti.

Ocampos memastikan Marseille selesa 3-1 pada minit ke-57 selepas berjaya memanfaatkan gerakkan dimulakan Payet.

Keputusan lain UEL:

CSKA Moscow 0-1 Lyon

Lazio 2-2 Dynamo Kyiv

RB Leipzig 2-1 Zenit St Petersburg

Sporting CP 2-0 Viktoria Plazen


Pengarang :