PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL komited dukung demokrasi pendidikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Selari dengan hasrat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mahu menjadikan Universiti Selangor (UNISEL) sebuah institusi yang mengamalkan demokrasi pendidikan, maka pelaksanaan pengajian percuma khusus bagi tahun asas akan tetap diteruskan.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohd Redzuan Othman berkata, sejak dilaksanakan pada 2016, ia ternyata mendapat reaksi memberangsangkan daripada orang ramai, sekaligus mendukung aspirasi pendemokrasian pendidikan di UNISEL.

Katanya, pengajian tahun asas ditawarkan kepada mereka yang tidak berpeluang masuk ke matrikulasi, tetapi pada masa sama ingin meneruskan pengajian dalam jurusan sains dan kejuruteraan.

“Selain itu, UNISEL juga salah sebuah institusi yang menawarkan yuran pengajian paling rendah dan berpatutan jika dibandingkan dengan sesetengah IPTS.

“Bagaimanapun, kita tidak mengetepikan kualiti pendidikan yang mana UNISEL memiliki khidmat tenaga pengajar yang berkebolehan daripada segenap aspek dan keberkesanannya jelas terbukti apabila kita melahirkan ramai graduan yang berkualiti saban tahun,” katanya ketika ditemui SelangorKini, baru-baru ini.

Prof Dr Redzuan berkata, pendekatan dilaksanakan bagi membolehkan pendidikan dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat tanpa mengira status ekonomi, latar belakang dan keluarga.

“Setiap warganegara amnya di negeri ini berhak untuk mendapat pendidikan paling berkualiti, jadi kita ingin memberi peluang semaksimum dan seramai mungkin kepada mereka yang berminat menuntut ilmu di sini,” katanya.

 


Pengarang :