ALAM SEKITAR & CUACAPENDIDIKANSELANGOR

UNISEL lestarikan Taman Bestari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 18 MAC: Pelestarian ‘Taman Bestari’ Universiti Selangor (UNISEL) dilihat satu pendekatan realistik sejajar dengan hasrat menjadikan ia sebuah universiti dalam taman pertama yang gah di mata umum.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Mohd Redzuan Othman berkata, gerak langkah itu bakal menggunakan khidmat warga UNISEL sahaja tanpa melibatkan konsultan mahupun kontraktor luar.

“Kita akan jalankan secara berperingkat sebab kita tidak mahu kontraktor luar terlibat sama dalam projek ini yang mana membayar pekerja luar boleh menelan kos agak tinggi.

“Jadi kita optimis untuk menggembleng tenaga melestarikan taman ini secara bersama asalkan ia terlaksana,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di Pusat Sukan IPIS, di sini, semalam.

Prof Redzuan berkata, pihaknya juga menerima peruntukan RM20,000 daripada Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong bagi tujuan penanaman pokok.

“Penanaman pokok akan dijajarkan berdasarkan kepada infrastruktur yang akan kita jalankan nanti secara lebih teratur dan tersusun.

“Dengan cara itu masyarakat luar yang datang ke UNISEL dapat melihat dan menikmati sendiri suasana taman yang tersergam indah dan kondusif dalam taman ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap hasrat untuk menjadikan UNISEL sebuah universiti dalam taman dapat dicapai dengan sokongan padu dan komitmen semua pihak.

=EZY=


Pengarang :