PENDIDIKANSELANGOR

UNISEL pacu pendidikan mampan, lahir pelajar berkemahiran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 17 MAC: Universiti Selangor (UNISEL) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memacu pendidikan mampan melalui penerapan bersifat multi disiplin dalam kalangan pelajarnya.

Naib Canselor, Prof Dato’ Mohd Redzuan Othman berkata, bagi melahirkan pelajar sedemikian, pelajar perlu diasuh, dididik dan didedahkan dengan pelbagai program bersifat multidisiplin.

“Pendidikan hari ini jauh berbeza jika dibandingkan pendidikan 30 tahun lepas yang mana masing-masing mengejar untuk dapatkan sijil.

“Namun pendidikan hari ini menekankan aspek penguasaan pelbagai kebolehan dan kemahiran yang harus bergerak seiring,” katanya ketika ditemui SelangorKini selepas majlis Perasmian Hari Terbuka UNISEL 4.0, di Pusat Sukan IPIS, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejajar dengan hasrat itu satu dasar rasionalisasi fakulti diperkenalkan pada September 2016 melibatkan penggabungan fakulti kampus Bestari Jaya dan Shah Alam.

“Contohnya, Fakulti Kejuruteraan digabungkan dengan Fakulti Sains Hayat menjadikan ia sebagai Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat, manakala Fakulti Komunikasi Media digabungkan bersama Fakulti Seni Reka dan Fakulti Sains Komputer menjadikan ia sebagai Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran.

“Melalui penggabungan itu, ia membolehkan pelajar untuk berdaya saing dan lebih kompeten setelah menamatkan pengajian apabila menguasai kemahiran daripada segi aspek lebih menyeluruh,” katanya.

=EZY=


Pengarang :