SELANGOR

UNISEL-PFAM jalin kerjasama tinggi mutu pemain bola sepak

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 MAC: Universiti Selangor (UNISEL) dan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menjalin kerjasama dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk idea dalam memberi nilai tambah kepada pemain.

Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohamad Redzuan Othman berkata, memorandum itu merupakan kesinambungan daripada kunjung hormat PFAM ke UNISEL pada 14 Februari lalu yang diadakan di kampus UNISEL, Shah Alam, semalam.

“Antara intipati kerjasama yang telah dipersetujui adalah UNISEL akan menyediakan Kursus Kejurulatihan Lesen ‘C’ yang akan bertempat di Kampus Bestari Jaya.

“Menjadi hasrat UNISEL untuk melihat program ini berjaya mewujudkan satu landasan perbincangan, perkongsian pengalaman dan idea dalam mengukuhkan asas pelaksanaan pembangunan akademik dalam kalangan pemain bola sepak professional Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, UNISEL juga akan membuka tawaran melanjutkan pengajian di bawah program UNISEL Athlete Academic Track menerusi program Diploma Pengurusan Industri Sukan (Pengurusan Bola Sepak) kepada ahli-ahli PFAM.

Memorandum ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman mewakili UNISEL disaksikan Pendaftar, Shamsul Azhar.

Manakala bagi pihak PFAM pula ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail dan disaksikan Presiden PFAM, Rezal Zambery.

Turut hadir adalah bekas pemain bola sepak kebangaan, Rudie Ramli dan Ahmad Fauzi Saari, kapten pasukan Selangor, Razman Roslan serta pemain pasukan Selangor, Mohd Fairuz Abdul Aziz.

Dalam pada itu, pihak PFAM juga mengambil bahagian pada Hari Terbuka UNISEL dengan mengendalikan Slot Bicara PFAM dan Perlawanan Amal Pasukan Pilihan PFAM menentang Pasukan Pilihan UNISEL, pada 18 Mac depan.


Pengarang :