NASIONAL

Wan Azizah imbau kembali berita palsu “KEADILAN tewas di kubu kuat”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Pihak bertanggungjawab perlu adil dalam menilai antara berita palsu dan benar dan bukan hanya mencari kesalahan pihak media yang melaporkan kelemahan Kerajaan Persekutuan sahaja.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata media milik Kerajaan Persekutuan juga terlibat melaporkan berita palsu seperti yang berlaku pada tahun 2004 dengan melaporkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tewas mengejut di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-11 lalu.

“Di kaca televisyen RTM melaporkan KEADILAN tewas di kubu kuat mereka dan berita ini disaksikan seluruh Malaysia,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Akta Berita Palsu di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, antara isu yang perlu diambil kira termasuklah siapakah pihak yang mentakrifkan sama ada sesuatu berita itu benar atau palsu.

Katanya, akta ini juga dibimbangi akan menyekat kebebasan media di negara ini.

Katanya lagi, selain itu, akta ini juga berisiko tinggi dimanipulasi Kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menutup kepincangan berlaku.

=EZY=


Pengarang :