NASIONAL

Wanita dihalang masuk balai hanya salah faham

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Kejadian seorang wanita dihalang anggota bertugas memasuki kawasan balai polis bagi mendapatkan perlindungan dianggap sebagai salah faham.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, balai polis adalah kawasan larangan dan anggota bertanggungjawab menjaga kawalan perlu mengenal pasti pihak yang memasuki ke kawasan balai bukan satu ancaman.

“Balai polis adalah kawasan larangan. Sesiapa datang tengah malam sudah tentu pengawal kena tanya siapa dia, kenapa nak masuk dan sebagainya,” katanya ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, wanita terbabit selepas itu dibenarkan memasuki ke kawasan balai.

Katanya, pihak polis juga menjalankan siasatan dan berjaya menahan tiga suspek kerana disyaki melakukan ugutan terhadap pemandu wanita itu, pada malam kejadian.

“Masalahnya perkara itu menjadi tular hingga memberi gambaran kurang tepat kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang wanita trauma tular ekoran tidak dibenarkan memasuki kawasan balai polis bagi menyelamatkan diri daripada ancaman pihak tidak dikenali.


Pengarang :