NASIONAL

Wanita diperingat elak terjebak ‘Love Scam’

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Golongan wanita dinasihatkan supaya tidak mudah cair dengan kata manis yang dilemparkan penipu alam maya atau ‘scammer’ menerusi ‘love scam’ hingga membocorkan maklumat peribadi kepada mereka.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pengguna seharusnya peka sebelum berkongsi data peribadi sekiranya diperlukan dan tidak sewenang-wenangnya berbuat demikian.

“Saya nak nasihatkan wanita, kerana kebanyakkan mereka terbabit dengan love scam. Kata-kata manis menyebabkan mereka terjebak hingga memberi kata laluan (password) dan data peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Nie Ching dalam kenyataannya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengambil tindakan tegas kepada individu atau syarikat yang membocorkan maklumat peribadi.

Ini kerana beliau sendiri sudah menerima hampir 20 panggilan dan mesej yang tidak dikenali selain membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jailani dalam jawapannya turut menyatakan sebanyak tiga kes pendakwaan dilakukan pada Disember 2017 dan setakat ini sebanyak lima kes dilaporkan pada awal 2018.

Sebelum ini, dilaporkan berlakunya kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini.

=EZY=


Pengarang :