GLOBAL

Washington dan UK senada Rusia dalang serang perisik

GLOBAL 13 MAC: Kerajaan Amerika Syarikat dan Britain senada dengan dakwaan berkemungkinan Rusia bertanggungjawab terhadap serangan ke atas bekas perisiknya, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia di Salisbury.

AGENSI media melaporkan kedua-duanya didapati diracun dengan agen saraf, yang lazimnya dihasilkan Rusia.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, mereka yang bertanggungjawab harus menerima akibatnya.

“Kami bersetuju bahawa mereka yang bertanggungjawab iaitu yang melakukan jenayah dan mereka yang mengarahkannya, harus menanggung akibatnya,” kata Tillerson.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Theresa May turut mendakwa Rusia dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Susulan itu, pejabat Setiausaha Luar Britain, memanggil duta Rusia ke negaranya untuk penjelasan.

Jelas May, sekiranya tiada penjelasan diberikan sehingga lewat Selasa, Britain akan merumuskan Moscow menggunakan kekerasan untuk membunuh Skripal.

Bahan kimia yang digunakan ke atas Skripal dan anaknya merupakan satu daripada agen saraf yang dikenalpasti sebagai Novichok.

Kata May, Britain akan mempertimbangkan tindakan tegas sekiranya penjelasan diberikan Kremlin tidak cukup baik, namun May tidak memberi penjelasan lanjut.

Skripal, 66 tahun dan anaknya Yulia, 33 tahun dilaporkan masih kritikal sejak diracun dengan agen saraf 4 Mac lalu.

Kremlin sehingga kini mempertahankan kejadian itu bukan didalangi mereka.

Skripal merupakan bekas pegawai risikan Rusia yang direkrut untuk menjadi perisik Britain pada 1990-an.

Dia dipenjara di Rusia pada 2006 namun dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan pada 2010 dan sejak itu, Skripal menetap di Salisbury.

SUMBER: AGENSI

=EZY=


Pengarang :