SELANGOR

Yayasan Raja Muda tawar latihan kemahiran terbaik warga Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 24 MAC: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) membuka peluang kepada golongan muda berusia antara 18 hingga 29 tahun menyertai latihan khidmat nasihat dan bantuan asas kewangan bagi lanjutan bidang kemahiran di Selangor.

Inisiatif yang dizahirkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku penaung Diraja YRMS, sejak 2003.

Program yang ditawarkan antaranya Talent For The World Programme, Bengkel Self Discovery for Young Adults, Kursus Kemahiran, Program Keusahawanan, Program Amal dan banyak lagi.

Mereka yang berminat boleh membuat pendaftaran di laman sesawang rasmi YRMS, www.yrms.org.my atau menghubungi talian 03-55133500 untuk pertanyaan lanjut.

Sementara itu, YRMS turut menjalin kerjasama bersama Akademi Sulam Emas bagi mengikuti lanjutan latihan kemahiran dan bidang pengajian jahitan.

Usahasama itu bakal menawarkan kelas modul bagi mereka yang berminat untuk mengikuti latihan kemahiran jahitan pelbagai jenis pakaian dengan teknik yang betul.

Sebelum ini, pemilihan kerjasama itu dibuat berdasarkan penilaian dan komitmen Akademi Sulam Emas menyediakan latihan kemahiran kepada peserta.

Akademi Sulam Emas merupakan pusat latihan kemahiran yang diiktiraf Kementerian Sumber Manusia melalui pertauliahan diluluskan Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.

=EZY=


Pengarang :