AGAMASELANGOR

Yayasan Restu jalin kerjasama, tingkat pemahaman Al-Quran

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 MAC: Yayasan Restu Selangor konsisten menjalin kerjasama bersama institusi pengajian tinggi Universiti Selangor (UNISEL) bagi merancakkan lagi inisiatif penyalinan dan penyebaran Al-Quran di negeri ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek pembangunan jangka panjang bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat ilmiah itu.

“Yayasan Restu berfungsi bukan sekadar sebagai pusat ilmiah atau penyelidikan sahaja, tetapi meliputi beberapa aspek dan gerak kerja yang disokong Kerajaan Negeri dan beberapa agensi kerajaan dan swasta lain.

“Antara lain termasuklah bersama UNISEL kerjasama berterusan ini akan dilanjutkan dan kami berharap projek keseluruhan ini dapat didedahkan kepada umum.

“Jadi momentum daripada segi pengetahuan orang awam terhadap kompleks ini akan bertambah,” katanya pada sidang media di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, pagi ini.

Yayasan Restu mula ditubuhkan sebagai pusat ilmiah berteraskan Al-Quran dan mengaplikasi khazanah seni visual seni Islam daripada pelbagai sumber di Malaysia.

Usaha berkenaan dimulakan pada tahun 1994 dan meneruskan operasinya di Yayasan Restu Shah-Alam, Koleh Antarabangsa Restu-Space U8, Bukit Jelutong dan Nasyrul Quran, Putrajajaya.

Pada masa sama, Yayasan Restu turut berfungsi sebagai pusat penyelidikan Al-Quran dan penyelidikan pembangunan Islamiyah di rantau ini.

=EZY=

 


Pengarang :