SELANGOR

YIDE hulur sumbangan bantu Maahad Tahfiz Uthmani

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan sumbangan ‘Ad-Hoc’ wang tunai kepada Maahad Tahfiz Uthmani, Kampung Seri Aman yang dilanda ribut membabitkan kemusnahan bumbung, baru-baru ini.

Sumbangan itu disampaikan Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti YIDE, Md Arifin Jaafar di madrasah berkenaan.

Turut hadir Pegawai Kebajikan YIDE, Muhammad Zubair Azizan.

Md Arifin berkata, bantuan berkenaan adalah inisiatif YIDE dan Kerajaan Negeri bagi meringankan beban warga maahad tahfiz yang terjejas akibat musibah itu.

“Syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku di saat masyarakat masih diselubungi kesedihan akan tragedi kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiyah menimpa anak-anak syurga itu pada tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mudir Maahad Tahfiz Uthmani, Mohd Soffiean Ismail berkata, kejadian berlaku Selasa lalu kira-kira jam 4.20 petang ketika pelajar sedang menggaji al-Quran di tingkat bawah sebelum dikejutkan dengan kejadian angin ribut terbabit.

“Kesemua katil pelajar basah terkena hujan dan kerugian keseluruhan dianggarkan melebihi RM10,000.

“Setakat ini, pelajar diarah pulang ke rumah masing-masing buat sementara waktu sehingga kerja baik pulih selesai,” katanya.

Pada masa sama, Md Ariffin memohon agensi kerajaan atau swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan sumbangan kepada maahad tahfiz itu melalui Maybank 562777217646.

Sumbangan diperlukan bagi memberi keselesaan kepada pelajar serta memudahkan mereka segera menyambung semula pengajian.


Pengarang :