SELANGOR

11,000 motorsikal berhimpun di Morib

OLEH HAZIQ ISMAIL

BANTING, 29 APR: Kira-kira 11,000 motorsikal klasik berhimpun di Dataran Pantai Morib sempena Majlis Penutupan Grand Gathering: The Largest Retro Bikes In The World di sini hari ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, program yang berlangsung selama dua hari itu bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk melihat pelbagai jenis motosikal lama yang masih digunakan sehingga hari ini.

“Ada lima negara menyertai kita pada hari ini iaitu United Kingdom, Singapura, Thailand, Indonesia dan juga negara kita sendiri,” katanya.

Mohamad Zain berkata, penganjuran sejak 2013 itu dijadikan sebagai landasan menghimpunkan peminat dan pengumpul motosikal retro di seluruh negara.

Jelasnya, dari segi keselamatan pula program itu bekerjasama dengan Polis dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Aspek keselamatan motosikal amat ditekankan pada program ini dan kita tidak mahu statistik kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motorsikal terlampau tinggi,” katanya.

Beliau berharap penunggang motorsikal meningkatkan sifat saling bertolak ansur, berhemah dan bertanggungjawab.

Terdahulu, perhimpunan itu tercatat dalam Malaysia Book of Records tahun 2014 kerana berjaya mengumpulkan 5,084 motorsikal klasik dalam satu-satu acara dan memadamkan rekod lama (4,100 motosikal retro).

=EZY=

 


Pengarang :