SELANGOR

152 terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 APR: Seramai 152 penjawat awam dari tujuh buah jabatan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, manakala 31 orang pula menerima Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2018, yang diraikan dalam satu majlis, hari ini.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam ucapannya mahu pegawai dan anggota perkhidmatan awam menyebarkan ‘real news’ berhubung kejayaan dikecapi rakyat Selangor.

“Juga bagaimana Kerajaan Negeri Selangor mengiktiraf peranan penting tuan-tuan dan puan-puan di Selangor.

“Dengan adanya pegawai-pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang komited dan dedikasi seperti di Selangor, saya yakin, Malaysia mempunyai masa depan cerah.

“Pengalaman amat bernilai dalam perkhidmatan ini turut dikongsi bersama masyarakat agar budaya kerja cemerlang ini dapat terus dipertahankan oleh barisan muda perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, majlis diadakan kali kedua bermula tmahun lalu menggabungkan kedua majlis, sekali gus mengurangkan perbelanjaan sektor awam.

Katanya, ia sebagai sokongan dasar penjimatan Kerajaan Negeri yang mengamalkan konsep ‘value for money’.

“Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah di atas prestasi cemerlang serta komitmen yang tinggi dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Juga kepada penerima AJD, jasa-jasa sepanjang berkhidmat akan dikenang dan dihargai,” katanya.

Tujuh buah jabatan itu membabitkan Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri, Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Selain itu, Pejabat Mufti Negeri dan Majlis Sukan Negeri Selangor.

Pada majlis itu, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) pejabat SUK, Dato’ Mazlan Md Noor menerima APC.

Turut menerima APC, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib dan Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Selain itu, bagi AJD pula dianugerahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim.


Pengarang :