PENDIDIKAN SELANGOR

17 pelajar terima bantuan Dermasiswa LZS lanjut pengajian ke timur tengah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 APR: Seramai 17 pelajar menerima tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam ke negara Timur Tengah, baru-baru ini.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, mereka adalah penghantaran pertama bagi tahun ini melibatkan enam pelajar asnaf fakir dan miskin serta 11 orang lagi merupakan di bawah asnaf fisabilillah.

“Bantuan disalurkan menerusi Bantuan Dermasiswa Pelajar Luar Negara LZS yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah antaranya Mesir, Jordan dan Maghribi.

“Ia meliputi bantuan yuran pengajian, kos penginapan dan pengangkutan,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Basith turut menasihatkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian untuk membuat permohonan melalui saluran yang betul iaitu melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Hal ini bagi mengelakkan ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan ke atas pelajar.

“Sekiranya menggunakan saluran yang betul, LZS dapat membantu para pelajar yang layak dan menepati syarat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :