KENYATAAN MEDIA

24,738 rumah siap tidak terjual, rekod tertinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 APR: Sejumlah 24,738 unit rumah siap belum terjual tahun lepas, sekali gus menyaksikan angka paling tinggi direkodkan.

Jumlah unit rumah siap tidak terjual pada 2017 meningkat 67.2 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai keseluruhan RM15.64 bilion, iaitu kenaikan 82.8 peratus berbanding 2016.

Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menakrifkan unit tidak terjual sebagai unit siap yang berada di pasaran lebih sembilan bulan selepas dilancarkan.

Baru-baru ini, JPPH melancarkan platform digital maklumat hartanah tidak terjual (UPESM) bagi menyediakan maklumat lokasi unit hartanah tidak terjual kepada awam.

Ketua Pengarah JPPH, Nordin Daharom berkata, pengguna boleh menggunakan fungsi carian UPESM untuk mendapat maklumat tentang jumlah unit tidak terjual mengikut negeri, majlis tempatan dan jenis harta.

“Sistem ini membolehkan pemaju hartanah dan kerajaan menggunakan maklumat disediakan bagi membuat keputusan lebih tepat tentang projek atau polisi akan datang,” katanya selepas melancarkan Laporan Status Pasaran Hartanah 2017.

Tahun lalu menyaksikan sektor hartanah Malaysia menyaksikan penurunan dalam jumlah dan nilai transaksi, dengan transaksi jatuh 2.7 peratus kepada 311,824 sementara nilainya menurun 3.8 peratus kepada RM139.84 bilion.

Dalam laporan The Edge Finacial Daily memaklumkan, hartanah kediaman masih merupakan pemacu utama pasaran tempatan, mewakili 62.4 peratus keseluruhan pasaran pada akhir 2017.

Bagaimanapun, segmen hartanah kediaman merosot 4.1 peratus dalam jumlah transaksi, sementara nilainya meningkat 4.4 peratus kepada RM68.47 bilion.

Harga rumah kediaman menyaksikan peningkatan berterusan dengan Indeks Harga Rumah Malaysia menokok 6.5 peratus kepada 187.4 mata berbanding tahun sebelumnya.

Selangor dan Kuala Lumpur mengalami peningkatan tertinggi masing-masing 7.6 peratus dan 7.3 peratus.


Pengarang :