SELANGOR

31 alumni Blueprint kongsi kejayaan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 APR: Seramai 31 alumni penerima manfaat program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor (Blueprint), berkongsi kisah kejayaan meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan dalam Karnival Merakyatkan Usahawan Kecil di Aeon Mall Shah Alam.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, Karnival berlangsung dua hari itu turut memberi peluang kepada alumni terlibat mempromosi produk sekali gus memperluaskan jaringan dan rantaian perniagaan mereka.

“Terdapat empat slot ceramah dan bengkel berkenaan asas keusahawanan serta strategi pemasaran dinamik kepada penerima dan masyarakat umum.

“Penganjurannya juga bertujuan memberi pendedahan serta meningkatkan pengetahuan usahawan atau peniaga kecil khususnya penerima manfaat program,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, hari ini.

Alumni terlibat menjalankan pelbagai perniagaan antaranya membabtikan perusahaan pembuatan songkok, lukisan, rawatan kecantikan, pembuatan sos sengkuang calit, maruku, bahulu, dodol dan kerepek.

Untuk rekod, Blueprint adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri meningkatkan taraf ekonomi golongan masyarakat individu berpendapatan RM1,500 sebulan atau pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.

Ia disalurkan kepada peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan dijalankan dalam menghasilkan impak positif terhadap pendapatan golongan sasaran seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di Selangor.

“Justeru, saya menyeru semua penerima manfaat program supaya menggunakan sebaik mungkin peralatan diberikan untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

 


Pengarang :